31 May 2014

Bantal dan Darah

Bantal tempat ku merehatkan kepala usai mengadap najis masalah dunia. Aku lelah kerana penat berlari - mengejar, berhenti dan lari lagi. Bantal menyelamatkan aku dari terus tenggelam dalam mimpi ngeri tak kesudahan - kepuraan, kebencian, perpecahan dan air mata. Bantal mengampu berat beban fikirku hingga ia mampu melindungi panjang angan-angan agar tidak keceplosan dari awan akal. Bantal lah tempat aku berehat, bertenang dan mengecas kembali baterai yang makin melemah.

Darah. Darah merah pekat yang mengalir dalam denyut nadi membawa bekal oksigen dan nutrisi, ubat sakit dan ubat mati. Darah  tugasnya menghidupkan jua mematikan. Jantung yang kencang memompa darah ke segenap inci badan, jantung juga memerlukan darah. Dan darah aku tidak akan sama dengan darah kamu walaupun susu yang kita hisap adalah susu yang datang dari kalenjar emas yang sama. Darah aku tidak akan sama dengan darah kau hatta colostrum yang mengisi perutmu adalah colostrum yang sama mengenyangkan aku. Darah aku dan kau tidak akan sama hatta pada agamaNya kita sudah halal bersaudara.

Kerana darah aku tidak membekalkan hitam arang pada hati dan akalku. Manakala darah mu itu telah mencemarkan mata hati dan kejujuran yang seharusnya kau miliki. Bantal aku selalu menyenangkan, membekalkan yang indah, menyokong tiap urusan tanpa sebarang masalah. Bantal kau tidak begitu... Bantal kau bau hamis dengan iri hati, ketidakadilan dan laku hukum yang sentiasa kau letak di pundak orang. Bantal engkau keras, akal fikirmu juga berkeramas.

Darah dan bantal kita tidak kan sama. Tidak sesekali sama.