30 September 2013

Sooner or Later



Semalam pastinya hari yang paling panjang bagi aku. Setiap nafas yang ku hela seakan mencengkam rengkung dan udara pula semakin menipis. Tiap kali aku terfikirkan dia, berderu sebu perasaan memenuhi dada. Mendukacitakan. Mematikan hati secara pelan-perlahan.

Tiada keadilan dalam percintaan. Itu yang pasti. Dia telah mengajar aku segala erti dan selok belok jiwa. Aku kenali diri sendiri bila saja permasalahan timbul dan jalan penyelesaian yang terbagus cocok buat diriku. Harga yang harus aku bayar buat semua pengalaman ini – patah hati. Makanya itu aku semalam ku rasakan cukup panjang. Melelahkan ruh dan jasad.

Kini kata putus tinggal dua. Meneruskan atau meninggalkan. Segala persoalan menyesakkan minda. Nah, kerana itulah hari semalam ku rasakan panjang. Perhubungan yang tinggal gantung. Tali bertautan tidak lagi kuat simpulannya seperti dahulu. Secara zahirnya, ikatan perhubungan ini  kelihatan longgar. Sesiapa yang melihat pastinya menunggu dengan rasa debar, menunggu kalau-kalau tebakan mereka mengena. Dan aku, aku berusaha untuk menidakkan semuanya. Berperang untuk mememusnahkan mimpi siang mereka yang tidak yakin dengan tambatan ini. Persoalan pokoknya, adakah AKU yakin? 

Kerana itu hari ini aku duduk berteleku. Di pojok bilik persegi ini. Ya, jauhnya menyeberang laut dari tanah asal. Musik-musik yang menemaniku malam ini kesemuanya mengundang sendu. Aku perlukan ini. Aku percaya aku perlukan ‘ceremony’ ini. Bagi persediaan..buat hati yang mudah rapuh, bacul.

Berfikir-fikir berapa banyak lagi tempat persinggahan yang perlu aku tempuh sehingga sampai ke destinasi yang benar? Yang sebetulnya untuk aku. Yang miliknya aku?

..kerana janji mulut manis bicara, janji yang bisa dilupakan tanpa mengira bila dan ketika. Kerana janji yang tidak ditepati boleh mematahkan hati. Kerana menjadi snow white, dicintai puteranya – ciuman bukanlah ubatan yang mutlak bagi merawat patah hati.


Ini..semalam yang panjang..hari ini yang tiada ketemu kesudahan..adalah keluhan hati yang patah.