30.8.13

“Lebih baik panjang suara daripada panjang tangan.”


Kota Bogor, Augustus 28.

Hari ini cerah tidak hujan seperti lewat petang semalam. Penduduk setempat mengatakan musim ini musim kemarau. Kalau tidak, Bogor selalu sahaja berhujan. Bahasa Malaysia aku juga semakin ‘berkarat’. Mungkin lidah sudah banyak merasa air dari tanah Indonesia, makanya itu ia berkarat. Dalam tak sedar semangat Bogor semakin meresapi jiwa.

Jakarta

Bogor terletak kurang lebih 60 meter dari kota Jakarta namun mengambil masa 2-3 jam dari bandara (lapangan terbang) kerana jalan yang macet (sesak) terus. Tempat tinggal aku berhadapan dengan IPB kampus Dramaga. Rumah sewa atau hostel sewa digelar sebagai rumah kos. Penyewa pula dipanggil sebagai anak kos. kos apa? kosong~ kosong~ onggg... Ada warden penjaga dan semuanya masih aman di sini.

Jadi hari ini tidak hujan. Aku dan rakan-rakan ke Bogor Barat, Warung Jambu. Bukan mencari buah jambu tetapi ke mall perkakasan computer dan elektronik. Lesai mereka membeli-belah, kami menaiki angkut (sejenis perkhidmatan awam – van sewa) dan seperti yang selalunya angkut kami ditumpungai anak-anak Bogor yang mahu mencari wang samping.


Anak Sandakan dalam angkutan kota.

Anak kecil itu lelaki, tubuh kecil dan berwajah berani. Tak kenal malu atau segan. Mulutnya terus bercicit nyanyi dan girang. Boleh ganti fungsi radio! Aku amati setiap bait yang dilagukan.
“Lebih baik panjang suara daripada panjang tangan..”

Runtun. Anak muda ini sewajarnya sedang berada di sekolah bersama anak-anak yang lain tetapi mengapa dia menumpang angkut ini, bernyanyi dan mencari wang saku? Anak muda ini mungkin sebesar anak menakan kalian tetapi keberaniannya dua puluh kali ganda. Selesai bernyanyi dia hulur tangan ke dalam angkut, di tengah celahan lutut kami yang duduk berhimpit. Rakyat Malaysia memang murah hati jadi wang saku anak muda itu tadi lebat sedikit. Poket bajunya melondeh dengan upah yang diberi mereka. Sampai di satu simpang tidak lama kemudian, dia meloncat turun. Dari cermin belakang angkut, anak muda itu lurus sahaja jalannya. Mungkin mencari peluang untuk naiki angkut yang lain. Dan kami pula cepat sampai ke destinasi.

Nyanyiannya biasa. Tidak selunak peserta Bintang Kecil dalam kaca tivi Malaysia. Tapi keikhlasan, kejujurannya melebihi segala. Anak muda ini anak marhaen. Dia antara mereka yang mengalami nasib mangsa kapitalis - beruntungan wang diutamakan, kebajikan dibiarkan. Anak ini tak seuntung aku atau anak menakan kalian. Tiada pelajaran maupon baju yang bersih. Dia kebal caci dan gigih mencari rezeki seperti kita-kita cuma gayanya comot dan semberono. Benarlah katanya, lebih bagus panjang suara (melontar suara ; memperdengarkan nyanyian) daripada panjang tangan (mencuri). Sedang dia tidaklah meminta-minta dan memaksa-maksa.

Kehadiran anak muda ini mungkin tidak menyenangkan kita, sebagai pelanggan angkutan kota. Namun dia tidak berkeras dan suaranya gratis (percuma) didengari ramai, hanya mengharap balasan ihsan. Ratusan lagi yang berpekerjaan seperti anak muda tadi di Bogor ini. Ada yang camping, ada yang kemas dan dileher bersangkut gitar kapuk. Ada yang punk rock dan bersepatu Dr Martin cap bundle. Ada bermacam pesen.

Ya bener, maningan biar lho panjang suaranya terus menerus daripada panjang tangan. Lebih lumayan, lebih halal.