9.1.13

Sepetang bersama...

Dia merenung jauh di balkoni. Kedua belah siku menyokong tapak tangannya memangku si dagu. Petang Zagazig nampak suram dan lantainya basah disirami hujan musim sejuk. Langit yang selalunya biru lazuardi bertukar menjadi seputih gula-gula kapas, menebar menyembunyikan hitam angkasa lepas. Dia mengangguk kecil. Dia anggap sahaja suhu 7 darjah celsius itu seperti berada di kota London. Kota London kota hipster penuh angin dingin yang meresap masuk ke dalam jiwa penduduk urbannya. Kota London ada Bigben jam besar, ada pengangkutan awam yang terkenal seperti metro, bus merah dua tingkat dan teksi hitam serba mewah. Berbanding dengan Zagazig taraf darjatnya berpusing 180 darjah.

Di Zagazig pengangkutan dari bandar dan setempat semahalnya menggunakan teksi atau prebet sapu. Jika tidak kisah berhimpit, mencium bau hangit ketiak arab naiklah tremco, sebuah van mini berkapasiti 16 orang sekali angkut. Jika dari jalan besar menuju ke perkampungan, naiklah tut-tut (seperti yang anda nampak dalam filem hindi). Berhadapan dengan pagar utama Universiti ada sebuah patung Firaun setinggi bangunan 5 tingkat. Namun mercu tanda kebanggaan sebenar Zagazig bukanlah patung firaun itu, tetapi kuda putih. Dia tersengih sedikit. Lalu di bawah balkoninya, sebuah kereta keldai membawa bekalan gas untuk isian semula tong gas rumah di sini. Keletang keletung bunyi pemandu keldai itu menjual perkhidmatannya dengan mengetuk spanar pada tong gas. Bingit dan menyakitkan hati. Belum bercampur dengan ngeri teriakan hilai tawa si keldai yang terlepas lari di waktu malam. Lagi seriau.

Rokok murah di celah jari cepat-cepat di bawa ke bibir sebelum habis terbakar dek angin musim sejuk. Dia sedut dalam-dalam dan hembus pelan-pelan. Fikirannya tak melayang jauh. Ada matanya memandang sekumpulan anak muda bermain bola sepak di halaman di depan rumah pangsanya. Anak muda arab cukup katang dan kacak. Putih, hidung mancung dan rambut kerinting pendek. Senyuman ala-ala Leonardo Dicarpio dan lirik mata dalam seakan Bront Palarae, itu semua menjadi santapan harian. Tak terdetik sekelumit pon hatinya nak melanjutkan perkenalan dengan pemuda arab di sini. Rugi, bisik hati kecil. Namun cepat-cepat dia berdecit dengan niat mengahalau fikiran nakal. Betul, rugi kalau tak kenal.

Sesekali angin musim sejuk bertiup, perlahan yang mencengkam. Dia yang hanya berseluar sesingkat lutut dan berbaju sejuk mulai menggeletar sejuk. Bulu roma naik serta merta. Matanya degil ingin menatap damai petang hari namun nervous system tubuhnya enggan menurut perasaan. Rokok nan sebatang cepat-cepat dihisap dalam, sebelum puntungnya dijentik jatuh ke tanah. Hembusan asap yang terakhir keluar perlahan dari sisi bibir dan sedikit melalui lubang hidung kembang kuncup. Dia mengangkat tangan ke arah sekumpulan pemuda arab tadi, melambai dan mengangguk kepala beberapa kali tanda ucap selamat dan tutup balkoni, undur diri.

Dia menanggalkan sweater dan campakkan ke kerusi merah, yang tinggal hanya t-shirt putih murah tersarung di badan. Pemanas (heater) ditekan suis hidup. Ke cermin meja solek, telek wajah dan menyapu habuk-habuk pasir yang melekat di pipi. Dia betulkan topknot agar biar center di kepala. Ikat kemas-kemas. Dengan nafas panjang pendek dan melompat ala antelope ke arah meja study, dia buka laptop, buka microsoft word dan menaip semua ini.

:P