14.12.12

Main Gila


Dunia masa kini sudah terlalu padat dengan pendapat yang dibukukan. Fakta yang dijilid. Pemahaman yang dilabel ‘hak cipta terpelihara’. Angan dan mimpi siang dalam sisipan siap dan mudah dibawa. Ilmu yang cacamerba ini bertanda harga. Manusia berdagang ilmu cacamerba ini dengan istilah kaedah konvensional. Sama ada by-hand atau by-kaunter. Buku mudah didapati samada di toko buku mahupon di atas talian (seterusnya dipos laju ke rumah). Ilmu cacamerba, impian terbuka ini semakin galak penjualannya dan manusia madani amat memerlukan ilmu dan impian ini. Sebagai suatu kaedah pembelajaran, penokok tambahan ilmu, percambahan ide dan perkembangan pembangunan sosial.

Ini adalah kaedah interaksi sesama manusia yang sangat hebat. Sesuatu yang lama, bersejarah dan sangat sihat.

Tapi bagi Rani, seorang operator kilang pencetakan yang kebanyakannya menerima tempahan cetakan buku ilmiah mendapati buku adalah musuh utamanya. Mengambil kira kata-kata seorang nabi agung, “Cintailah musuh kamu..”  dia sedia memperhambakan dirinya dengan menyediakan buku bagi santapan otak fresh graduan di luar sana demi sesuap nasi setiap hari dan piknik bersama keluarga di hujung minggu. Berkerja sebagai operator mesin pencetakan bukanlah sesuatu yang mudah dan kerjanya membutuhkan Rani bersentuhan dengan kulit muka buku malah setiap helaian dalam jilid buku. Kuku Rani dihujungnya kehitaman kerna seletan dakwat basah di kertas. Ada dakwat merah, ungu, biru, hitam dan dakwat ini tidaklah mudah untuk ditanggalkan. Habis segala jenis sabun dia sental pada jejarinya..kukunya masih hitam legam. Tiap kali Rani pulang dari kerja, ibunya membebel melihat hitamnya kuku Rani. Rani mengeluh. Tapi demi sesuap nasi, isian minyak motosikal dan hadiah buat cewek kegemaran haruslah dia bertahan berkerja sebagai operator mesin cetak buku.

Bagi Suria pula, tugasnya senang. Memastikan stok buku sampai pada waktunya setiap bulan. Dan dia bertanggungjawab untuk menyusun buku mengikut genre, memasukkan kod harga di kaunter dan menempel tanda harga di setiap buku. Sudah setahun Suria bekerja di Kedai Buku Fofular jadi Suria sudah betah dengan ‘rengekan’ dan ‘lakon-layar’ buku dan peminat buku. Malah bau parfum kegemaran Suria adalah bau buku baharu. Suria tidak kisah dengan hubungan suka-bencinya dengan buku. Kadang-kadang habis bergaris luka jari halus Suria dek tajamnya bilah kertas buku yang baru sampai. Suria menyalahkan dirinya kerna lalai. Buku tak bersalah. Buku tiada perasaan walau bermacam emosi dan kondisi tertulis di dalamnya. Buku tiada kefahaman walaupon banyak pemahaman dan pandangan berjijid didalamnya. Suria pasrah asalkan upahnya RM 7 sejam itu berbaloi.

Syukri adalah pelajar yang biasa-biasa. Rutin hujung minggunya mungkin ke toko buku komik bagi menyewa komik atau ke Kedai Buku Fofular mencari buku latihan (sambil bermain mata dengan pembantu jualan yang genit). Syukri berbanding dengan Rani dari Bangladesh dan Suria – keduanya ‘hamba’ buku, Syukri adalah pelanggan. Buku pertama yang menarik minat Syukri untuk membaca adalah kisah-kisah Nabi terbitan Telaga Ungu, kemudian Syukri berjinak dengan Iqra’ mempelajari huruf-huruf jawi dan seterusnya membaca Quran. Syukri mulai berminat dengan buku bergambar apabila dia diperkenalkan dengan majalah – salah satu cabang buku, majalah Mangga Muda. Hormone seks membuak selepas Syukri mimpi naik bulan, dia berkenalan dengan cerita fiksyen ‘Teacher Suraya’. Hampir separuh kita percaya dengan Teacher Suraya. Syukri amat cintakan Teacher Suraya dan buku.

Keuntungan hasil jualan buku ini aku kira sangat memuaskan. Tolak modal dan untung rugi, hasilnya memuaskan hati. segala pandangan, pemahaman, penceritaan, fakta, auta kesemuanya berbaloi ditulis, dijilid, dijual apabila perkongsian ini menjadi. Perkongsian yang haruslah dimulai dengan sedikit prakata atau sinopsis di belakang buku dan kemudiannya pertukaran bahan dengan wang ringgit. Berbaloi dengan kerja keras kesemua pihak. Ini semua pengorbanan besar-kecil bagi membentuk manusia madani.

Main Gila adalah sebuah lagi buku bagi mengisi ruang imaginasi tertunggak milik rakyat malaysia. Sasaran penulis adalah semua lapisan masyarakat di Malaysia, sesiapa saja yang boleh membaca tulisan rumi. Majlis pelancaran ialah pada Sabtu ini di Annexe. Ini adalah buku kombi aku yang kedua selepas Kontrol Histeria. Diterbitkan oleh Lejen Press, semua yang menulis insyallah lejen belaka. Aku tak ada alasan sangat nak suruh korang beli buku ni. Jika hubungan anda dengan buku kali terakhir adalah buku teks SPM atau buku teks di Uni..adalah wajar berjinak dengan buku 'indie' seperti Main Gila ni.



Belilah buku terbitan Lejen Press. Sekian.