30 November 2012

Samsara





Selagi ada kenangan, selagi itu ada kehidupan.

Aku tak hitung sudah berapa hari abang tinggalkan aku, tinggalkan keluarga dan secara lebih tepatnya meninggalkan ruang dunia ini. Bagi aku abang kini berada di suatu tempat yang dia sudah tahu rahsia kejadian dunia. Abang sudah tahu rahsia kehidupan kini dan seterusnya. Abang berada di suatu tempat yang menjadi kunci kepada semua jawapan. Menurut Islam, abang di alam barzakh. Sedang di soal siasat malaikat sana tentang amalnya di dunia..tentang iman. Abang di alam barzakh sehingga matahari terbit di ufuk barat. Sehingga tibanya Hari Perhitungan. Menurut buddhisme, abang sedang menunggu giliran..menunggu giliran untuk dilahirkan semula (reincarnation).

Memandangkan abang seorang muslim, maka begitulah.

Tapi jika dipilih untuk dilahirkan semula.. abang sesuai menjadi pegawai tertinggi tentera yang berkhidmat di sebuah negara pendamai. Abang sesuai mengepalai bala tentera dan berperang menegakkan keadilan. Abang sesuai bersama pihak yang benar dan membawa kesejahteraan bagi penduduk di negara itu. Abang aku bukan calang orang. Orangnya tenang dan bijak. Orangnya damai dan penuh kasih sayang. Orangnya pencinta keadilan, amanah dan sejarah.

Jika Nakir bertanyakan pada aku perihal abang, aku jawab dengan ikhlas bahawasanya abang wajar diletak di kalangan syuhada. Hujahnya, abang berjuang keras menjadi seorang mukmin, ketua keluarga yang membentuk halaqah yang murni demi mendapatkan keredhaNya. Makanya tiada seinci kuku malaikat penyiasat itu harus menyentuh tubuh abangku. Aku berkeras tidak benarkan.



...dan sejuta patah kata pon tak akan membawa dia kembali.

Abewa, Iqah rindu.