09 August 2012

Yearning

Usai terawih malam ke dua puluh satu, aku minggir ke balkoni bilik. MONO mendendangkan aku Yearning di laptop tanpa henti. Entah pusingan yang ke berapa kali. Tangan memangku dagu di atas pagar balkoni. Langit kosong malam ni. Sekosong hati aku. Klise yang tepat.

Ada kematian, kehilangan lebih tepat lagi. Dan jasad aku berperang dengan fikiran. Tubuh ini masih berteleku di bumi Mesir sedang saudara sedarahku - kaum keluargaku ditimpa musibah daripada Tuhan. Mungkin kerana ibuku sifatnya gagah seperti Siti Khadijah dan ayahku itu hebat seperti sahabat Nabi Bilal, Yasir dan Khalifah ar Rasyidin yang lain makanya Allah turunkan seribu macam kepayahan kepada keluarga kami. Keluarga kami mahu jadi sehebat keluarga Maisarah, keluarga Bilal bin Rabbah, makanya Allah turunkan musibah persis yang mereka alami cuma ringan sedikit.

Abangku yang kedua meninggalkan dunia kami. Tanpa persetujuan aku malaikat maut mencabut nyawanya pada petang Isnin pukul 4 lebih kurang di Kuala Krai. Planning Allah swt tak berhenti di situ. Babah, Mak, Adik bongsuku Aqilah, anak arwah Harith Iskandar dan kakak iparku Kak Ira turut terkena tempias kecelakaan ini. Abangku pergi bersama-sama anaknya yang berada dalam kandungan Kak Ira. 32 minggu umur bayi perempuan itu. Harith kini yatim. Kak Ira beransur sedarkan diri dari koma. Ayahku bakal menjalani beberapa siri pembedahan colon reconstructions. Ibuku yang cantik dan gagah tak ubah Siti Khadijah tadi dimasuki plat dikedua belah kakinya, patah. Aqilah adik bongsuku yang anggun seperti Aisyah r.a juga mengalami patah tangan. Wajahnya sedikit lebam, tapi cantiknya tak berubah. Harith.. Harith matanya biru lebam sedikit. Hari-harinya bertanyakan papa dan mama. Harith cukup istimewa..jarang sakit-sakit.. umurnya sudah dua tahun lebih. Bijak & keletah. 

Aku yang mahu mengambil contoh Fatima Az Zahra wajar mendengar amanat babah sebelum dia melalui pembedahan.. Babah suruh aku teruskan perjuangan. Seakan pesan Anwar Ibrahim kepada puterinya Izzah. Jadi aku langsaikan dulu perjuangan di sini. Tak ada aral aku akan pulang mengadap ayahanda bonda. Berkhidmat untuk keluarga. 

Aku utuskan adik ku Adibah sebagai gantiku. Adibah yang cantiknya bak Zulaikha isteri Yusof dan ketaatan Zulaikha adalah seperti taatnya Adibah pada permintaan aku, insyaallah. Adibah bakal menceriakan keadaan suram Harith yang rindukan mama & papa nya.. Adibah utusan aku itu bakal pulihkan semangat mak, babah & Aqilah adik bongsu. Adibah bakalan mengaji quran untuk Kak Ira yang masih di pembaringan..Adibah bakal bercerita yang baik-baik untuk Kak Ira. Adibah pelajar matrikulasi, dia pantas tahu apa yang perlu dibuat. 

Sementara menunggu waktu pulang, aku yang semangatnya kuat seperti Xena the warrior princess & sabar seperti Siti Fatimah akan langsungkan tugas aku di bumi Mesir. Kata Mak, "Biar jatuh gunung rebah, biar datang ombak membawa bah, tapi anak emak takkan rapuh punah. Anak mak mesti kuat!"

Yearning oleh MONO teriak lagi di corong acer..aku biarkan. Entah buat kali ke berapa pusingannya. Langit hitam Mesir aku tenung lagi. Bulan kian tak mengambang di kiri langit. Air mata jatuh menitis aku biarkan. Biarkan..

Sabar ya sayang..mumy fiq pulang tak lama lagi.