26.4.12

Ibu Aman



Kipas berpusing malas. Kreak kreuk..ia berbunyi dalam pusing berkuasa 1. Aman bimbang kalau dia kuatkan kuasa kipas itu ke nombor 5, keesokan pagi ibunya hanya mampu memangku badan tanpa kepalanya bertangkuk, dilipas kipas tua yang sudah putus sambungan pada siling rumah. Jadinya malam itu Aman hanya mampu mengipas-ngipaskan baju pagoda nipisnya sambil baring lesu di atas katil. Sambil tangan kanannya mengipas badan katang itu, tangan kirinya bertingguk di dahi.

Banyak yang dipikirkan Aman. Sesekali dia ekor matanya memandang bawah pintu bilik, masih ada sisa-sisa bias cahaya datang dari ruang tamu. Bunyi mesin jahit buruk milik ibunya juga masih ligat berbunyi. Ibu masih belum tidur. Tangan jam loceng (yang angkanya bersinar dalam gelap warna hijau) menunjuk pukul dua. Dua pagi dan dia masih belum boleh tidur. Ibu juga tidak tidur. Ayah? Oh lupa, mana ada karekter seorang ayah di dalam hidup Aman. Kalau ada karekter seorang ayah, Aman tak buntu nak lesaikan bil elektrik dan sewa rumah pada esok hari. Kalau ada gunanya seorang ayah dalam hidup mereka, Aman tak susah payah berhenti sekolah sampai tingkatan tiga dan bekerja di bengkel kereta Mazlan. Gaji dua minggu sekali hanya cukup-cukup nak tampung hidup dia dua beranak sekalian duit menjahit ibunya yang bermusim. Tangan Aman makin malas mengipas atas bawah. Malam kian larut. Aman lena dengan lelah yang panjang.

Aman masih belum tidur, getus Ibu. Kedua kaki ibu masih setia mengayun roda mesin jahit. Jari jemari masih menurut dan tekun menyusurkan bibir kain untuk dijahit dengan jarum tajam. Dalam kerajinan itu ibu tak sedar yang roda benang semakin menipis, lalu habis. Ibu terpaksa bersengkang mata menjahitkan lima pasang selimut tampal yang Mak Odah, jiran kaya pesankan. Lima pasang selimut itu untuk anak-anaknya yang bakal masuk asrama buka musim sekolah nanti. Mentang-mentang Simah tukang jahit sudah tak menang tangan, lima pasang terakhir ini ditolak pada Ibu. Tapi ibu mestilah bersyukur sekurang-kurang ada juga rezekinya meskipun dia hanyalah bidan terjun, pilihan terakhir orang. Kebolehan ibu menjahit tak semua pandai hargai. Ibu hanya diamkan sahaja. Orang sudah mati laki sepertinya tak layak bersuara dan melaku-lakukan hasilnya.

Ibu kasihan pada Aman. Bukan tak kasihan. Tapi kehidupan menuntut mereka berkerja keras dan berkorban lebih. Anak lelakinya itu sudah dua tahun tinggalkan sekolah dan kerja keras di bengkel Mazlan di Bandar. Ibu berterima kasih sangat-sangat. Tapi ibu pandai, bukannya bebal. Ibu sedar yang Aman sebenarnya memberontak dengan Ibu. Kehidupan Aman tak semanis, tak sesenang remaja seumurnya. Aman, anak ibu liat benar nak tunaikan solat. Ibu tak berkenankan betul dengan perangai Aman yang menurun perangai arwah ayahnya. Surau yang hanya berselang tiga rumah tak pernah Aman jejak, ayahnya juga begitu dulu. Usahkan solat di surau, ibu tak pernah lihat Aman menunaikan solat subuh tanpa disuruh, dikejut bangun tidur. Kelmarin semasa ibu mengemas bilik Aman, ibu terjumpa segumpal duit sepuluh – sepuluh ringgit dan kad daun terup, ayah Aman dulu balik rumah dengan bauan masam arak. Sungguhpon begitu, Ibu tetap tak sedap hati. Sungguh-sungguh ibu tak sedap hati.

Ibu buka pintu bilik bujang Aman. Kepala ibu terlentok sedikit kerana kasihankan anaknya tidur dalam keadaan yang panas dan berpeluh. Ibu gatal tangan. Ibu perlahan meraba dinding kayu bilik itu dan terjumpa fius kuasa kipas. Ibu putarkan sampai ke angka lima. Ibu senyum nipis. Semoga Aman tidur nyenyak dan mudah bangun subuh nanti. Pintu bilik ditutup semula. Ibu pon beredar semula ke mesin jahit.

Eh apa ni? Kuat pulak angin malam ni. Tingkap terbuka ke? Aman tertanya-tanya. Tidurnya terjaga kerana dia tiba-tiba seram sejuk. Aman bangkit dari pembaringan dan duduk bersila. Mata digenyeh lambat-lambat. Kreak kreuk kreak kreuak..bunyi kipas makin galak. Aman membuang pandang pada tingkap. Eh tutup rapat. Kipas? Kenapa tiba-tiba kuat? Ka..ka..ka..ka.. Tap! Dummm! Kipas siling terjatuh pada lantai bilik. Aman melompat terkejut. Kipas tua masih galak berpusing. Aman cemas.

Maa…kkk… Zass..!

Tok..tok..

Subuh itu Pak Rahim azankan seperti biasa. Melaung-melaung memuji Maha Pencipta sambil mengajak manusia menunaikan solat subuh dan menuju ke jalan kejayaan. Mesin jahit Ibu dah tak berbunyi. Tapi di sisi mesin jahit itu ibu duduk berteleku. Pada pangkuan ibu ada Aman, yang separuh siap berjahit pangkal lehernya. Comot-comot Ibu menjahit Aman dek terpalit darah Aman yang kian mongering. Susah payah ibu seret Aman keluar dari bilik. Habis hanyir lantai kayu rumah dengan darah kotor Aman. Ibu kata, dia jahit pakai jahitan silang pangkah dengan benang nilon, baki gulungan buat baju sejuk anaknya Mak Odah orang kaya dahulu. Ibu kata, kalau benang nilon lebih tebal dan dapat tangkuk leher Aman dengan kemas. Kulit Aman kan tebal. Ibu tak jumpa tali tasi yang arwah ayah selalu guna buat memancing di lubuk tempat arwah lemas dulu. Kalau pakai tali tasi, mungkin lagi lah nampak kemas sebab tali tasi tak berwarna. Fesyen sedikit ya Aman, tak apa. Ibu menepuk-nepuk perlahan pipi Aman seolah mendodoikan dia tidur.


“Itulah Aman liat sangat nak solat. Kipas pon tahu marah tau.”