13 April 2012

Batu Bersurat Seorang Hamba Masa Depan.

Jari berdetap-detup menekan papan kekunci. Sesekali dibawa ke kepala, garu gatal. Kedua biji matanya tekun merenung skrin komputer riba dan mulut pula menguyah perlahan saki baki buah epal semalam. Dia cuba untuk berekspresi tapi seakan tersekat. Jari-jemarinya sebelum ini hanya pandai menulis tulisan ringkas segala hormon dan cairan kimia yang dikeluarkan oleh sel bertuankan badan. Dan juga nama-nama saintifik ilham dari dunia latin dan roma. Untuk menjinakkan kembali, mengambil masa, lama. Otaknya sudah diracuni dengan lapan belas toxin. Kesemua empat puluh bahagian otaknya sudah selesa dengan rukun iman hamba masa depan. Keterbiasaan ini..mengelirukan semangatnya.

Dunia sosialisnya terjejas hebat. Tapi sekarang dia cuba untuk mula semula lantaran rindunya yang membuak serta dia sedang menjejak dirinya yang bernafsu buas terhadap sastera suatu masa dahulu. Fikirannya dahulu dicemari dengan segala macam falsafah dan kehendak jiwa liar mahukan kebebasan. Sekian lama dia begitu, orang tuanya menghukum dirinya supaya menghambakan diri pada masa hadapan. Pendirian serta falsafahnya dikoyak raba, dicatu masuk ke dalam tong sampah. Terasa dirinya punah.

Kini dia kembali. Katanya, dia harus seiring membawa watak hamba pada masa depan juga seorang pencinta kemanusiaan. Katanya lagi, dia pingin dan rindu benar untuk bermesra-mesra dan menengadahkan diri kepada pencinta nilai kemanusiaan yang lain. Seolahnya jika dia hilang sifat terpuji yang satu itu, dia bakal lemas.

Dia pohon simpati kesemua ahli pencinta kemanusiaan agar mengampuni dia yang songsang terhadap nafsu kendiri dan mencurangi jalanan ini. Dunia aksara terlalu luas, katanya. Terlalu luas dan cukup kasih sayang untuk memaafkan aku. Yakin dia.

Simpulan rambut yang diikat kemas tercacak di vertex kepala, dia cuba rapikan lagi. Mulut yang comot dengan jus kunyahan buah epal tadi disapu pakai kura-kura tangan. Dia cuba untuk memekakkan telinga dengan teriakan orang ramai yang memujuknya agar tidak murtad sebagai hamba masa depan. Dia hanya bercinta, tengkingnya kembali. Dan bercinta itu memerlukan kesabaran, berterusan & ketaatan. Dia mohon agar kesemuanya kita bersabar untuk dia membenihkan sesuatu yang asli daripadanya. Demi waktu yang singkat, dia akan kembali.