5.3.12

Hentian ke Sorga

Apa yang kamu tahu tentang kematian? Aku.. Aku tak tahu apa.


Mungkinkah bila aku tiba di sebelah sana yang menanti aku adalah kucing parsi peliharaan arwah nenek aku dahulu, Kathy yang bakal iringi aku ke petak pertama bertulis "Ruang Menunggu". Kathy satu-satunya binatang awal yang aku jinak. Selepas kematian Kathy aku cuba buka hati untuk menyayangi binatang yang lain tapi, selalu sahaja gagal. Oleh itu aku rasa Kathy yang paling layak mengiringi aku ke petak pertama "Ruang Menunggu". Ruang itu pula berdindingkan sofa lembut berwarna putih lepuk. Sekelilinginya sok suci. Ada bauan spesial, bau mawar melur seperti yang bonda tanam di hadapan pintu pagar rumah. Kathy yang sudah lama tak ketumu aku akan naik ke peha aku, sambil dengkur lembut di situ. Aku usap bulu lebatnya dengan penuh kasih. Terima kasih kerana masih menunggu aku Kathy. 

Bila tiba masa, konduktor bas mini akan bertanya aku mahu ke mana, dengan positifnya aku akan jawab;

"I'm on my way to heaven.. Sekalian?" 

Semestinya aku pelawa.. 

***

Tinggalkan sekejap buku akademik di meja belajar, turunkan pensel di tangan, leraikan ikatan rambut, cari tempat pembaringan, baring. Lihat ke siling. Lupakan dunia, sekejap. Ambil nafas, lepas. Beritahu aku, jika kau sudah mampu ramal kematian menjengah di hadapan mata, apa perkara paling enak yang kau boleh bayangkan menyambut kau di ruang sana?

Buntu kan? Sebab kematian tak pernah menjengah kau dan aku di hadapan pintu seperti mereka-mereka yang berpenyakit ada, mahupon mereka-mereka yang berperang di Syria sana. Sayang, kematian itu pahit jika kita ingin ianya pahit. Aku mahu kematian itu juga sebagai permulaan indah untuk hidup aku yang baharu.