25 February 2012

Adu


Langit yang bercorakkan warna ufuk senja menggoda aku untuk duduk di hujung bukit. Pandangan mata tertancap pada kota lumpur di bawah sana seolah disimbah kilauan emas dari mentari. Hari ini aku ingat berdepan dengan langit lepas. Berbicara tentang soal hati dan perasaan. Tentang luka yang tak pernah sembuh, tapi kian bernanah. Luka hadiah daripada yang tersayang.

Langit, kau yang menyaksikan segala melodrama yang berlangsung sepanjang kedewasaan ini berikanlah aku petunjuk untuk selesaikan segalanya. Sudahkan satu persatu kisah pada helaian hidup yang tinggal tergantung. Tampalkan segala lelohong hitam dan hiaskan dengan kenangan indah yang masih bersisa. Langit, kedewasaan ini memusnahkan. Yang silam tak terubatkan, yang mendepan meresahkan.

Mengeluh. Buat kesekian kalinya aku mengeluh. Sesekali angin lembut datang menegur dan aku dengan mudahnya tersenyum. Begitulah aku. Dengan mudahnya memaafkan. Dengan mudahnya menerima. Tak pandai-pandai menghukum. Tak pandai-pandai nak berkata "Cukuplah!". Aku ingat dengan cara ini aku jumpa bahagia. Bila keikhlasan semakin pudar, sabar pon menipis, mudahnya aku hilang punca. Bahagia pon sementara. Sebal!

Amarah aku pada khilaf manusia tak pernah sejuk.

Langit senja mengundang maghrib. Dari atas bukit hijau ini aku dengar gema-gema laungan azan. Terlalu banyak peluang yang Dia berikan. Terlalu banyak kejayaan yang hendak dicapai. Terlalu besar cintaNya sebab itu layak dipanggil Tuhan. Siapalah aku. Langit melihat aku manja, angin membelai aku lembut, pujuk. Wajar aku undur diri. Berserah pada Yang Maha pula.

Belum ku temu jawapan yang sahih untuk luka ini.
Langit, nanti aku datang lagi.