09 December 2011

Diari 1

Diari,

Adil atau tidak jika aku masih mampu senyum di sini sedang kan beribu lagi yang bibir mereka rongak dengan kesedihan yang menimpa. Aku otomatik rasa bersalah. Senyuman yang aku ukir segera pudar sebaik sedar yang aku tinggal bersama mereka yang tidak senasib sebaik aku. Akhir fikiran segera simpul; dunia ini kejam. Memang kejam.

Patah dua pensel warna biru laut jenama Luna direnyuk tangan aku. Sengal ada. Mati akal bila menerawang sambil mewarna lukisan sel hati dalam buku log. Aku tak patut biarkan fikiran aku hanyut. Sisa dan habuk batang pensel tadi aku sapu dan letak dibucu meja. Aku capai pensel warna merah darah pula. Fokus.

"Kau tak pergi Konsert Amal Selamatkan Palestin?" soal seorang kawan. Terjongol kepalanya di muka pintu bilik. Aku menggeleng. Tak pernah latih kaki ke mana-mana konsert sebelum ni. Biarpun atas tujuan amal.

"Kenapa?" soal kawan tadi lagi. Aku memalingkan muka ke sisi kanan. Melirik ekspresi wajahnya yang menunggu jawapan aku. Dengan baju t-shirt hitam berfigura anak muda memegang bendera negara Palestin meneriakkan sesuatu, muffler celupan warna hijau putih - kawan aku ini nampak segak. Kepalanya elok diletak kopiah putih. Kemas.

"Tak rasa nak berhibur untuk sedekah kepada orang yang menderita. Kau pergilah. Banyak belum siap ni," jawab aku. Moga puas hati dia.

"Tak apalah. Tak semua pemurah macam kau. Tak salah nak berkumpul untuk tunjuk rasa simpati. Bukannya semata berhibur konsert ni, tapi mesej beringat tu yang penting. Aku pergi dulu." Duuum! Pintu bilik ditutup rapat. Lebih kepada dihempas caranya.

Aku garu nipis leher kiri dan seterusnya dibawa ke kepala. Lain orang lain cara, lain gaya. Kawan aku yang seorang tu mungkin terlupa tentang hal ini. Aku tak nafikan bahawa konsert berintikan mesej dakwah terpuji dengan alunan musik melankolika begini, mungkin membawa seribu satu kebaikan untuk orang lain. Lagi pun, ya lah setiap 'kebaikan' yang dibuat itu bukan aku yang tentukan berapa gantang berat 'pahala'nya cuma, ya, aku masih berada dalam transasi memilih prinsip dan tapak yang betul dapat menghadap dunia sehari-hari. Berikan aku sedikit ruang dan masa untuk setiap justifikasi yang aku pilih. Rasanya dua pilihan itu pon, manusia sekeliling tak mampu nak pinjamkan aku.

Bosan. Bosan melayan setiap soalan yang datang bertubi tak ada yang sanggup memberi jawapan yang mampu lunakkan hati. Tangan aku menyentuh aplikasi facebook di paparan skrin telefon tangan. Foto album profile dibuka. Aku lihat sekali imbas semua gambar-gambar, imej yang aku taruhkan pada dunia untuk lihat dan biarkan mereka menghakimi aku. Sekiranya wajah dihias senyuman itu tidak aku paparkan, mahu dunia ini lebih banyak wajah murung, kan? Tak ada orang 'like' wajah masam. Semua orang 'like' wajah senyum. Jadi, kenapa perlu aku henti papar wajah senyum dan rasa bersalah jika aku rasa senyuman mampu mengubat. Ketawa kecil. Asyik melihat foto sendiri. Senyuman bukan satu kesalahan, ianya ubat yang mujarab.

Till esok lusa, bye diari.