18.11.11

Walk On

Kita ikat pergelangan tangan dengan janji. Jari jemari bertaut dan kita pakai t-shirt lebih kurang serupa warna. Bergandingan bahu kita susur jalan masa depan. Tidak tahu menahu apa yang akan kita jumpa tapi kita kenal setiap apa yang telah kita tinggalkan. Bekasnya kita bawa bersama, buat tilikan agar tak mengulang kelamnya silam.

Masih lagi bergandingan bahu kau dan aku. Jemari masih bertautan dan lenggang pon makin senang. Laluan pejalan kaki ini kita hayun langkahnya ringan. Aku ukir senyum di bibir. Senyuman penuh. Dan kau masih setia, kita bersama.

Tiba di persimpangan. Kau dan aku pun tahu apa yang berlaku. Simfoni perpisahan mengambil alih. Dan bab kisah seterusnya ditulis dalam diari berasingan. Berbeza pena dan warna dakwatnya. Kita masih teruskan dengan langkah yang senang seperti mana gaya kita dulu. Tangan yang masih berayunan kiri dan kanan dengan lenggang yang sama rentak sewaktu kita bersama sebelumnya. Buku lima ini aku genggam. Takkan ada yang berani buka atau sengaja aku buka.

Kenyit mata, jumpa kamu di persimpangan depan sana pula. Terowong masa ini sementara cuma. Sambung semula langkah senang, langkah ringan. Ulang tayang.