27.11.11

Pustakawan

Kembali kita bermain di dalam perpustakaan yang paling banyak timbunan bukunya, yang paling kemas susun atur kitab-kitab tamadun serta paling berwarna-warni ilmu yang Tuhan karangkan ideanya. Setiap muka buku itu aku sapu perlahan dengan perca sutera China. Biar habuk yang melekat berterbangan dan tidak hinggap semula. Muka-muka buku harus dipelihara sebaik mungkin supaya ramai tertarik pada isi dalamnya. Sungguhpun tidak ditatah permata lombongan Afrika atau tiada tekapan emas Libia, tak apa. Asalkan kemas bersih.

Aku larikan perca tadi pada rak buku nombor satu blok B. Susunan yang mengikut dari tertinggi, sederhana sehingga kecil malah paling hujung bersaiz mini, buku-buku itu semuanya berkeadaan baik. Kemas dan bersih. Mungkin peri pustakawan yang lain sejak awal lagi menyapu habuk. Aku baca satu persatu tajuk yang dicetak pada tepi muka buku. Susunan yang bermula dari abjad A, kemudian B dan seterusnya C, D, E, F dan panah mata aku mati pada ruangan kosong. Disitu ada sepasang mata yang memandang dari rak seberang. Tajam penglihatannya sepertinya mahu menahan aku di situ. Benar, langkah ku mati. Dia mendekat dan terus mendekat.

Susuk tubuh gantang, bahu pejal dan kepala terletak cantik di antara keduanya buat aku leka memerhati makhluk ciptaan Tuhan entah datang dari dimensi yang mana itu. Diam semuanya. Tak semena mata yang berkilau tadi bergenang manik alir hiba. Wajahnya murung, tingkahnya serba tak kena. Bahu terhenjut-henjut dan pecah suaranya teriak! Sekonyong-konyong dia jatuh terpelosok di celah rak-rak buku itu. Aku yang masih terkejut masih menjadi aku, memerhati.

Aku dekati dia yang sedang duduk mengesak sambil memeluk kemas lutut. Aku bersila betul-betul di hadapannya, gentar menusup jiwa tapi aku endahkan. Kedua tangan yang gigil aku buka perlahan buku lima itu. Seraya kepalanya terangkat. Matanya bisikkan sesuatu yang sukar amat aku fahami. Kenapa? Apa yang telah terjadi?

Kosong. Itu jawapannya.

Tak sampai lima saat selepas itu badannya mengendur. Tangan yang dalam genggaman aku turut kendur. Kepala bulat cantik tadi botak, bahu yang pejal jadi anjal, jadi lembik. Jadi seolah-olah belon yang kempisan angin. Subhannallah, yang tinggal hanya kantung kulit! Mulut tergamam. Seolah kunci seluruh badan sehinggalah aku tersedar apabila beberapa buah buku jatuh ditepiku dari rak atas.

Aku panggil peri pertama dan peri kedua. Keduanya setuju bila aku minta mereka jadikan kantung kulit bahagian punggung makhluk tadi sebagai muka buku bagi menggantikan kulit buku yang sudah mereput dan naik kulat. Manakala bahagian-bahagian yang lainnya aku cadangkan mereka membuat buku dengan sedikit lembaran bertulis berisikan cerita sadis milik makhluk tadi dan penulisnya harus lah aku. Aku sudah fikirkan tajuk yang sesuai.


Anuar Zain; Antara lelaki, perempuan dan dot.dot.dot..