12 October 2011

Rabak

Dah tak boleh.. Dah tak boleh dah!

Dia tertunduk. Ulu hatinya senak. Pedih menahan tangis. Dadanya berombak tak tentu kalu. Sekali dua terhenjut juga bahunya dan empangan air mata itu tumpah juga setelah berasak lama mahu rembes keluar. Rembes keluar segala toksik yang dia simpan dalam benak fikiran, dalam hati sampai hitam kelam.

Dia ada mulut. Ada lidah. Ada air liur. Ada kotak suara. Lengkap segala enjin untuk dia luah bicara tapi dia tak mampu. Lontaran suaranya masih tersekat-sekat. Ada kaca dan batu hampa bertakung pada rengkongnya.

Dalam posisi melutut itu, tangan kanannya menapak teguh menahan diri dari rebah ke lantai manakala tangan kirinya memegang abdomen. Menyokong jasad agar tak mudah tunduk pada tekanan hidup. Dia mulai mengerang diselang tangis. Sesekali dia batuk. Ada bendalir yang keluar masuk melalui rongga hidung dan salur tekak. Mata yang bundar cantik itu hanya mampu mengejip, buka merenung lantai simen yang basah.

Malam ini kesepian yang ada bukanlah tertakluk pada kehendaknya. Malam ini malam duka, malam kabung. Bersedih dengan tak upaya dirinya mengubah takdir, menulis plan mega untuk kesinambungan roda filemnya. Badan muda itu putus harap, rapuh semangatnya.

Longlai. Lemah. Gelap..kelabu..hitam..berbalam-balam wajah kesayangan bermain di mata lalu rebah.

Dunia berjaya menekannya. Dunia berjaya menindih akalnya. Dia sudah mati di dalam.