4.7.11

Saya juga perlukan rakan macam awak.



Saya juga perlukan rakan macam awak.

Yang menegur saya bila saya buat salah. Menegur tandanya awak cakna tentang saya; perbuatan dan langkah yang saya ambil. Awak tak mengherdik saya dengan kata makian atau mendoakan yang bukan-bukan untuk saya.  Awak menjaga saya seperti mana awak ingin diri awak dihargai.

Saya juga perlukan rakan macam awak.

Yang menenangkan saya bila saya gundah. Hati saya ini..selalu sahaja walang. Awak sedekahkan senyuman yang rupawan dengan sedikit pelukan kemas untuk saya. Bila awak usap kepala saya bila saya sedang mencurahkan rasa hati. Saya rasa cukup senang!

Saya juga perlukan rakan macam awak.

Yang suka mengingatkan saya tentang indahnya permainan dunia tetapi lebih nikmatnya janji-janji manis sang pencipta bila tertunaikan di akhir nanti. Waktu remaja semuanya terasa seperti nak mati esok karang, kan? Sebab itu awak ada bersama saya. Beri semangat untuk saya gagahkan perjuangan dan saling iring langkah ke depan menentang lawan.

Modal yang awak keluarkan untuk persahabatan kita ni, saya yakin bakal dibalas dengan timbunan saham yang menguntungkan kita berdua kelak.


Ikhlas dari saya yang memerlukan rakan macam awak,

Salam sayang.

*****

Ini adalah notis untuk ciri-ciri kawan yang kita mahu. Siapa yang mahu yang begini juga, tampalkan di setiap pokok dan pondok ceruk bandar anda. Contact number jangan lupa ya!