26 June 2011

Teringat


Kita lupa pada satu-satu masa kita adalah pencipta, bukan semata penerima.
Apa yang berlaku di Selatan Thai, di Bosnia itu semua adalah ciptaan kita-kita yang punya minda yang rapuh.
Ya, aku sedang bercakap mengenai penderitaan dan kesengsaraan yang mereka; kita akui dan label sebagai saudara itu sedang menanggung.
Minda yang hebat, yang kuat sebaliknya sedang menjual idea-idea bagi memadamkan memori hitam terhadap perbuatan kita-kita yang lampau.
Aku bercakap mengenai pakar motivasi berkelulusan pHD, pakar ahlul ugama yang sedang melabon sama ada di television swasta mahupun radio. 
Mereka menjual ubat penahan kesakitan dalam bentuk ceramah kerohanian, hiburan yang diluluskan syarak dan panduan kehidupan yang bahagia. Sebuah ilusi dalam delusi.
Manusia adalah robot emosi yang takdir bagi tindak tanduknya berpaksikan hati dan akal yang separa waras. 
Eksplorasi minda menujah mereka pada ketetapan yang paling asas, jatuh pada tangan sang pencipta.
Mereka enggan menyentuh apa yang jauh daripada jiwa. Kerna mereka tidak betah disedut dalam hampagas dunia tidak bertuhan.
Kita lupa pada satu-satu masa kita adalah pencipta, bukan semata penerima.

*****
"Fiq, ustazah panggil. Dia suruh masuk kelas." ujar Hanisah, takut-takut. Matanya bundar saja melihat aku yang sedang terperuk di atas kerusi, dalam bilik persalinan pelajar perempuan. Hanisah, seorang pengawas dan juga pernah menjadi teman karib aku. Tidak lagi begitu selepas kami menginjak usia baligh. Aku melihat Hanisah sekilas. Uniform biru itu sesuai dengannya. Hanisah tegas, tapi tidak dengan aku. Dia cerdik, tapi tidak sebijak aku. Bukannya aku menyombong, tapi aku mahu tanya, siapa yang sudi menjadi anjing pemerintah?

"Beritahu dia, nanti aku masuk."

Diam. Hanisah masih tidak berganjak. 'Biskut gulung' di tangan aku jatuhkan. Sampai aja di lantai simen, aku tenyeh pakai kasut kain kanvas aku. Asap nipis naik ke permukaan, beralun. Sayang, ada separuh lagi. Strawberi pulak tu. Kacau!

"Fiq..." gesa Hanisah lagi. Mencerun bola mata aku lihat muka Hanisah. Aku mendengus sekali menandakan aku tidak mahu dia di sini. Aku mahu dia beredar. Hanisah pon berlalu pergi. Aku yakin tidak sampai 3 minit pasti datang guru wanita separuh abad, dengan cekak tangan di pinggang, bercermin mata bujur bingkai emas bertenggek di batang hidung, baju kurung kain sutera dan kasut hitam berdetap-detup bersama sekumpulan anjing yang lain datang menyeret aku ke bilik disiplin. Sebelum drama sebabak berlaku, aku harus cabut dahulu. Fikir aku.

Gesa-gesa aku menusup ke belakang kantin menuju padang sekolah. Ada lubang kecil dibuat pada pagar jaring hijau yang memisahkan sekolah dengan bukit yang penuh dengan semak samun. Aku patut berterima kasih pada senior terdahulu. Lengan baju sekolah aku lipat sampai siku lengan, tepi tudung aku singsingkan hingga ke pangkal leher manakala kain biru muda uniform aku angkat sampai ke atas lutut. Beg lusuh yang tak berjenama yang aku hanya isi tiga batang pen dan beberapa helai kertas kajang itu (yang punya contengan aku tadi) aku sorongkan keluar ikut lubang pagar. Tanpa berpaling ke belakang, aku mula menyorong kepala, badan dan kaki keluar melalui lubang itu. Lepas.

Tarik nafas lega, aku mula orak langkah. Destinasi seterusnya, biar dua pasang kaki ini yang bawa. Lepak di kedai komputer Along pon sedak juga. Sayup-sayup terdengar suara memanggil aku dari arah padang sekolah. Peluh cuak mula memercik di dahi. Ah sudah....

"Fiq..! Fiq..!"

Earphone di telinga aku cabut keluar, buru-buru. "Apa? Kenapa?" soal aku semberono. Tegak saja tubuh Esah berada di hadapan aku. Almari hiasan dengan ukiran TImur Tengah dengan sedikit sentuhan Eropah, set sofa merah dengan perincian yang sama, bunyi kipas siling, titisan air dari pili di bilik air....

"Hari giliran kau masak kan? Kau nak masak apa?"



"La...laksa johor ok?" jawab aku, sedikit gugup.

"Ok.. Tu sumbat lagi earphone tu sampai pekak. Orang panggil pon tak menyahut. Berangan la tu..." bla bla bla bebelan Esah mati di cuping telinga seiring dia beransur masuk ke dalam bilik tidur. Aku raup muka yang bebas jerawat, mengusap sehingga ke pangkal leher. Astaghfirullah...