03 June 2011

Menyambut Hari Lahir



Petang ini aku berpakaian serba ringkas. Baju kurung moden tersarung kemas di badan. Rambut yang mengurai aku sanggul kemas, dan litupkan dengan tudung bawal jenis satu, jenis yang dia suka. Hujung tudung aku bawa pinkan dua ke bahu. 

Bakul piknik sudah aku siapkan seawal tadi. Sebekas ham sandwiches, potongan buah-buahan dan puding karamel. Tinggal nak dimasukkan sebotol jus apple yang baharu saja aku dapatkan di tujuhsebelas. Aku kerlih jam tangan di lengan kiri. Jam lima petang, cantik! Tak semena bibir terukir senyuman riang. Tidak sabar melihat reaksi dia nanti. Aku minta dia tunggu di taman hijau petang ini. 

"Tak ada apa-apa muslihat. Saja ajak awak. Datanglah. Saya tunggu." pesanku serba ringkas.

Bibir dicalit sedikit nivea lipbalm. Awal summer ini buat bibirku cepat benar mengering. Buru-buru aku sarungkan flat rona krim dengan tangan mengendong bakul piknik. Buku pintu rumah, tutup, kunci. Ayuh, menuju ke taman! Melebar senyumanku.

Cuaca petang begini sangat cantik. Angin sepoi, awan teduh, langit biru. Sempurna! Sampai sahaja di taman aku lihat dia masih belum tiba. Lewat sedikit mungkin. Tak apa. Aku pilih tapak di bawah pohon rendang. Pohon angsana. Masih di sini pokok ini. Tanpa melengah, aku tebar kain alas, menutupi rambut hijau segar. Satu persatu isi bakul piknik aku keluarkan. Letak satu persatu. Aku duduk menyandar pada batang pokok. 

Tumpang sekejap ya? Terima kasih. Ujarku pada pokok. Jam tangan aku kerlih sekilas. Jam lima setengah petang. Lewat benar. Tak apa lah. Tak jadi apa-apa tu. Sambil menunggu kedatangan dia, aku selak Stingarden karya Sinaganaga. Bila baca tulisan Sinaganaga mulalah aku melayang. Asyik sungguh!

Jam lima empat puluh lima. Mata mula terasa kuyu. Tambah kuyu disapu lembut angin petang. Aku lihat burung-burung mulai berterbangan. Matahari semakin condong. Aku tukar posisi daripada duduk sehinggalah aku berbaring dengan lengan disilang dua sebagai bantal. Mengadap langit bogel dan yang bergentayangan pada tubir mata hanyalah wajah mesra dia. Bukan payah bercinta dengan 'orang halimunan'. Hanya perlu bertaut hati dan percaya. Hasil kerja seterusnya serah pada Dia, Dia yang Maha Mengetahui.

Jam enam petang. 
Selamat Hari Lahir sayang. Semoga kau dilimpahi rezeki dan mensyukuri apa yang ada disekelilingmu. Semoga bahagia ada pada kamu selalu. 
Hanya bahagia yang tak boleh dirampas sesiapa.
Kucupan hangat dan indah aku lemparkan ke langit. Moga angin terbang membawanya lapan ribu merentas lautan hindi sana, terus melekap ke pipinya. 

Sandwich yang aku bawa tadi aku kunyah lambat-lambat, sambil melihat anak-anak belalang melompat di pucuk rumput. Melihat anak-anak manusia berlari, kejar ekor sama sendiri. Melihat foto wajahnya di celahan Stingarden. Melihat dia di sebelahku, pakai mata hati.
Jam enam petang aku, jam duabelas dia. 
Lapan ribu batu, masakan jasad dia hadir ke sini. 


I Miss You by Incubus.