23.6.11

Mengulit


Payah betul dia nak tidur kali ni. Dia pusing ke kiri, pusing ke kanan. Mata pejam rapat. Buka dan katup kembali. Tekak terasa kering. Ringan saja badannya bangkit dari pembaringan, melangkah ke luar bilik, akhirnya ke dapur. Air masak diteguk sekali dua. Puas. Menjengah ke ruang tamu, gelap dan kosong.

Masuk ke bilik. Duduk di birai katil, baring tapi belum tidur.

Sesekali dia mengimbas apa yang terjadi hari ini. Kosong. Semua yang menyenakkan kepala bakal kembali mengaktifkan akalnya. Dari situ mula lah dia tak boleh tidur. Tak boleh fikir, diam diam tidurlah! Esok kerja.

Dia hembus, tarik nafas. Fasa pernafasan berlangsung seperti biasa. Memaksa dirinya menjengah ke medan alpha dan seterusnya ke alam lucid dream.

Meniduri diri sendiri agak payah. Keluhnya sendiri.

*
Aku perhati saja dia bergelut dalam senyapnya. Andai saja aku ada di sisi. Semahunya aku bercerita dengan nada suara yang rendah, perlahan supaya dia mudah terulit. Mungkin mengucup dahinya sekali dua, bermain dengan rambut yang berjuntaian di dahi. Senyum. Mendakap dia erat biar dia mudah untuk lelap lalu tidur.