24 June 2011

Imuniti

Di penghujung keberadaan aku di sini, untuk sem ini, aku lihat orang-orang yang aku tinggalkan lapan ribu batu sana sudah kembali blooming dengan macam-macam cerita yang menggembirakan. Ada yang naik pangkat, ada yang mendapat pekerjaan, ada yang sudah punya kekasih, ada yang baharu bertatih punya kekasih, ada yang sudah 'jumpa' Tuhan, ada yang semakin berada dan macam-macam tuah lagi mereka dapat.

Kata babah, itu bukan tuah, itu adalah rezeki yang ditahan pemberiannya sehingga tiba waktu yang sesuai.
Aku senyumkan aja. Ini semua satu kebetulan. Aku mungkin ada bahagian aku yang belum diberi lagi. Tidak pula aku meminta bonus atau immuniti pada saat-saat tidak genting. [Mungkin aku akan minta immuniti untuk result peperiksaan nanti]

Aku tak pernah paham dengan aturan Tuhan. Mesti malaikat-malaikat sibuk berterbangan sana sini mengumpul doa lalu dibawa ke langit ke tujuh. Dalam gudang besar itu mesti ada lapangan pelepasan dan ketibaan buat malaikat yang besarnya mungkin gabungan semua padang bola untuk 7 buah bumi. Mesti banyak division, mengklasifikasikan jenis-jenis doa, jenis-jenis rezeki untuk dibahagikan. Seperti contoh pasti ada jabatan makanan, jabatan nyawa, jabatan kesihatan, jabatan hal ehwal kewangan, jabatan selepas mati (yang mungkin bekerjasama dengan jabatan nyawa) dan macam-macam jabatan lagi. Mereka menguruskan yang mana perlu mendapat 'cop pengesahan' dari Tuhan dan mereka dalam hal ini mestilah kaum malaikat. 

Kriteria untuk cop semua borang permohonan tu pulak, wah, mesti dahsyat. Kau paling koman kena dapat cgpa 2.0, itu paling busuk lah tu. Tidak pun dapat Makbul (lulus). Haih...nak dapat Makbul pon seksa.......

Hidup ni, tak ada beza mana dengan peperiksaan tengah tahun, peperiksaan akhir tahun. Yang canggihnya hari-hari adalah hari peperiksaan. Dengan 'paper' yang berbeza kekuatannya, soalan pembelitnya adalah cabaran dan dugaan kita hadap dalam hidup. Tukang tanda kertas pula adalah orang-orang yang melantik diri sendiri sebagai hakim. Aku kasi tahu kau satu rahsia, kita-kita ni takkan SEMPURNA di mata seorang pemeriksa/penanda kertas. Mereka menanda dengan bibir mencebir, muka masam dan pakai kasut tumit Prada di kaki. Jadi aku usulkan satu lagi borang pemohonan pada Tuhan. Aku pinta supaya penanda kertas peperiksaan aku adalah seorang yang merendah diri, hanya pakai selipar paling hebat pon selipar jenama Adidas dan yang penting pada wajahnya kekal senyuman penyejuk jiwa.

Sama-sama kita tunggu result keluar di Masyar nanti. Mungkin bukan versi kertas A4 terpampang di papan kenyataan, mungkin versi surat layang versi Hogwarts. Aku harap aku dapat seekor helang mata kelabu untuk sebagai teman nanti. Siapa tahu helang aku boleh bertukar jadi helang besi dan selamatkan aku dari dicampak neraka.





Hoi apa aku mengarut nih?