23 April 2011

JB dan Samdol

Kau hilang lagi. Dari semalam aku cari-cari tak jumpa. Bijak betul keluar rumah tanpa tinggalkan nota. Beg kau yang boleh muat 30kg tu, nak buat perhiasan kat rumah aku? Tak payahlah. Semak.

Sweater hitam dipecat dan disangkut sahaja ke bahu. Badan terasa panas, tapi lengan masih sejuk. Kelihatan jelas singlet putih dengan grafiti Sarkasis tersarung di badannya. Sudah dua hari dia mencari kawannya tapi tak nampak-nampak. Selama dua hari itu jugalah singlet putih sarkasis tersarung dia pakai. Sekarang sudah telat malam.

Di kejauhan dia boleh nampak sirna lampu-lampu Kota Singa. Tengoklah tu, bila orang tinggalkan kita, orang itu lebih berjaya. Clakak! Kahak dikumpul, ludah ke tepi belah kanan. Sipi lagi hendak terkena kasut kanvas hijau tua. Berjuntaian kaki sambil bontot lepernya dihenyak atas tembok batu.

Baghal punya samdol! Dah bersunat pon menyusahkan anak dara orang. Kalau yang tak bersunat tu aku tahulah, tak ada agama. Lenyek dek kereta api Tanah Melayu pon aku tak peduli apa. Ini.... dah tahu beragama, blah tak tinggal salam, tak tinggal pesan. Bagus betul adab..

Hhhhnnnffff...

Di pantai sudah, di lombong pon sudah. Mana lagi aku nak cari? Entah-entah terapung di Selat Tebrau? Ha.. sapa tahu?

Haiihhh.. Cigar indo Sampoerna dikeluarkan dari kocek kiri sweater. Diambilnya sebatang lalu bontot cigar dititip ke hujung bibir.  Kakinya yang bergedik dari tadi diam. Cucuh api lighter pada hujung cigar sambil tangan kiri melengkok,tahan angin. Sedut sedut.. Mechanisma pernafasan berlaku seperti biasa hanya diselang geseran asap dihembus masuk keluar cuma. Rambut ikalnya diusap lembut dari ubun-ubun hingga ke hujung. Sedikit berminyak, sudah dua hari tak bilas. Gasaklah, samdol tu lagi penting.

Takkan kena tetak dek samseng Masai? Samdol tu kalau orang sembarangan tahan dia pon dia berhenti. Percaya semua orang dalam dunia ni cepat,mesra dan betul kayak polis.. berdesup peluru handgun tembus kepala baru dia tahu!

"Hoi merokok!"

Dia sentap. Tercari-cari arah suara menegur tak beradab. Cermin mata bingkai putih yang lurut ke batang hidung dinaikkan. Penglihatan yang kabur mulai jelas.

Eh eh.. samdol tu lah!

Dicampaknya baki sampoerna ke tepi dan segera dua pasang kanvas hijau itu menapak atas tanah. Dia berlari anak, tak sedar sweater hitam miliknya lurut jatuh, tinggal hanya singlet putih. Berdepan dengan samdol.

BUBBB..!

Keting samdol disepak kuat. Habis mengerang anak muda itu terjungkit-jungkit. Sudah gaya orang main tingting dengan kaki sebelah terangkat.

"Hoi samdol, aku rindu!"

"Sengal sakitlahhh!!!" jerkah samdol. Mencerlang mata samdol melihat dia yang sedang ketawa suka. Mulut samdol mengaduh sakit.

"Ya, sengal yang ini rindukan kau lah!" Dia tepuk bahu samdol beberapa kali. Padan muka samdol.