9.3.11

Dreamcatcher

Aku rasa .. kalau aku kekal di sini, makin terbukak luah isi hati, jadi ada baiknya aku pergi.
Aku rasa .. kalau aku masih kekal tak berganjak, risau semua kulapok, kulat, nanah dan juga lendir habis membuak keluar dari diari lama. Habislah busuk segala. Hamis, ada bau hamis.

Kalau jadi aku pergi sambung pertapaan, aku boleh bercerita tentang yang baik-baik sahaja kepada kamu, dari diari baharu. Pon akan aku bina cerita, yang indah-indah sahaja watak kamu.
Biar kamu dengar yang enak-enak. Yang tak pahit dan jika pahit pon biar lazat seperti kopi Kluang.
Kelat-kelat. tapi sedikit itu memadailah.

Kalau aku pergi menahan diri, aku belajar menyimpan semua yang buruk itu jauh-jauh. dalam-dalam.
Biarlah yang takut itu jadi kekuatan. Nak menawan dunia, aku perlu karamel yang manis dari semua kamu.
Mahupun buruk,hodoh,jelik, aku mampu tukarkan semuanya menjadi kisah pari.
Hanya yang bagus-bagus aku simpan dalam ingatan. Hidup dalam delusi? Terserahlah.


Dan sewaktu aku pulang semula nanti, maka akan datanglah menyergah mimpi ngeri mana pon ingin tiduri setiap malamku, aku akan bacakan surah yang bagus berseru nama kamu - khas ingatan manis yang aku cipta tentang kamu sewaktu aku di sana - bagi menangkap semua mimpi ngeri itu. Biar tidurku lena dan dirahmat selalu.