26 February 2011

Gadis Parasol

Gadis parasol itu berjalan perlahan merapati bangku di taman. Sambil merenung masa depan panjang, dia bertitah. Hanyalah gagak dan batang pokok ara menjadi pendengar setia atas lapang hijau.

Tinggalkan aku dan paragonrasa, hanya kami berdua di perhentian terakhir.
Dalam diam kami itu ada gelodak tawar.
Seluruh intuisi menjadi buta.
Aku gagal mencium bau dia.
Gagal.

Jadi bila punah harapan, rasa sayang itu aku masih simpan.
Biarkan ia di satu sudut.
Dengan ingatan, biar yang lama itu menjadi parasol.
Melindungi bila diperlukan, menghiasi bila berseorangan.
Sekurang-kurangnya aku terhibur.
Sekurang-kurangnya aku tahu, aku pernah berlagak menjadi manusia, tahu erti kasih mengasihi walau tiada titik penghujung. 

Gadis parasol berlalu pergi. Derap langkahnya kini semakin pasti. Parasol di tangan kanan, ditutup lipat. Simpannya rapat ke sisi tepi. Menemani. Huluran tangan sang kekasih disambut. Senyuman nipis diukir. Bahagia. Nikmat dunia dielus rasa syukur.