25.10.10

Ajarkan Dia




Ajarkan dia tentang rindu yang sering bertamu di hujung hati.

Kadang-kadang dia keliru sendiri, apakah rindu ini hanyalah beban bagi pundak yang menanggung atau rindu ini nikmat hasil daripada perpisahan yang manis? Dia dalam keadaan paling keliru dan buntu, jadi dia kurang arif tentang semua itu.

Ajarkan dia tentang apa yang perlu ditutur, apa yang tidak - dan segalanya biarlah tentang rindu. Ajarkan dia bagaimana perlu dia katakan sebutir-sebutir sifat rindu itu dan bagaimana perlu dia rangkum tompok-tompok rindu yang bersepah itu biar jadi jambakan bunga yang indah , lalu dipersembah buat yang tersayang. 

Dia punya idea. Dia mahu jambakan rindu itu terus mekar dan berbau harum sepanjang zamannya bertapa di bumi yang fana ini. Tapi, dia tidak tahu bagaimana mahu mengekalkan keindahan itu. Dia lost.

Dia kata, tembok ego ini terlalu tinggi dan kukuh. Kentalnya tembok ego itu lebih daripada tembok Berlin mahupon tembok Penjara Puduraya; lambang sifat kemanusiaan yang kian terhakis. Tembok egonya itu telah mengorbankan ramai jiwa-jiwa yang kehausan percikan rindu daripadanya. Semegah tembok China, dipuja hingga sekarang.

Ayunya dia tetap ada. Senyuman manis pon sedia terhidang bagi mengubat lara hati yang lain. Masih, kerna egonya yang tinggi itu, kata-kata rindu tidak betah dilagukan sewenangnya. Tembok itu ada pengawal yang menghisab nisbah baik buruk dari yang lain.

Jadi, ajarkanlah dia lepas daripada pandangan si pengawal agar mudah dia belajar untuk menutur bait yang indah lalu lakarkan ke wajah lelangit biru.

Ajarkan dia.