16 September 2010

Berebutkan Aku


Aku tak punya apa-apa. Tiada harta, tiada pangkat mahupun rupa. Asal usul ada, kerna kita semua lahir dari rahim Hawa yang sama.

Aku menjadi harapan bonda, sandaran buat ayahanda dan taruhan keluarga untuk bertarung merebut peluang keemasan yang diberikan Tuhan. Aku tidak meletak sebarang apapon batu penghalang di jalan hadapan, kerna setiap batu yang menghalang itu aku jadikan sebagai pemangkin untuk aku melompat lebih tinggi. Menggapai bintang di langit bukannya mudah. Perlu bahan pembakar semangat yang banyak dan iringan doa yang berkat. Barulah menjadi.

Sejak dua menjak ni.. ramai yang berebutkan aku. Merebut perhatian dan belas kasihan. Merebut kasih sayang yang masih tak luak. Merebutkan jasad yang masih bernyawa. Ada antara mereka yang khabar, hanya jasad aku di sini tetapi fikiranku sudah lama bersemadi di tanah anbiya, tempat yang bakal dituju nanti.

Aku lihat bonda tekun, menyusun satu persatu persalinan yang perlu aku bawa masuk ke dalam bagasi besar. Aku sudah lama tewas melihatkan ketabahan itu. Jika kau, kau mampu terus lihat dan bersandar sahaja? Sang ibu itu tabahkan hati mempersiapkan anak kesayangan untuk pergi berjihad buat masa yang lama. Jika kau,Ya letakkan kau ditempat aku, sebagai manusia yang punya hati dan akal, kau sanggup untuk melihat sahaja?
Mati hidup semula pon aku tidak mahu lihat mata itu bergenang, tahu?!

Biarlah untuk beberapa hari ini tinta hitam berkabung kerna ‘kehilangan’ diri buat seketika. Sementelah aku kan tidak punya apa. Pesan ku hanya satu, cariklah bahagian mana yang kau mahu carik daripada aku, agar kau bahagia punya secebis daripada aku sedang diri ini masih bertapak di sini.

Pelukan erat dan renungan mata yang manja aku kirimkan buat mereka yang jauh di mata. Maafkan aku jika aku tidak mampu secara zahir, memuaskan hati kalian semua. Bukan sifatku untuk kejam pada hati-hati yang cakna, tapi aku harus melukakan juga. Harus atau ada hati yang lebih parah kerana perbuatanku kelak.