17 August 2010

Dia tidak mahu menjadi orang yang malang

4, 3 tahun ke belakang.bulan ramadhan.

Dia rindukan bau itu. bau hamis dosa manusia di balik tirai gelap dan dendangan musik laju menyaji halwa telinga. dia rindukan rasa nikmat bebas menghayunkan kepada ke atas ke bawah, bergoncangan ke kiri dan kanan dan menghentakkan kaki ke lantai seolah itu adalah pesta kebebasan terakhir yang dia hadiri.

dia rasa puas dan nikmat.

dia toleh kiri dan kanan. dia bangga punya koleksi besar rakan seangkatan yang bersama melalui ritual yang sama. tiada fokus dan pengakhiran. asap nikotina dan air masam masam membakar trachea, dia hisap dan teguk bagai oxygen meresap ke peparu. dia rasa puas dan nikmat.

lelaki perempuan jantan pondan semua dia kawan. semua dia gaul tak segan. dalam jiwa tiada Tuhan, hanya ada setan. malam berjemur siang bergebang. habis semua cerita dia tayang seolah hidupnya movie dalam panggung wayang.

satu.dua.tiga.empat hingga duapuluhsatu rakaat terawih dia tinggal.
sahur,puasa pon dia tinggal.tiada tadarus.tiada apa-apa.
yang ada hanya nafsu bermaharaja lela.

kini dan sekarang. dan tirai yang kelam itu sudah tertutup rapat tatkala sangkakala hanya tinggal sejengkal dari dibunyikan oleh malaikat yang bertanggungjawab.

dingin angin dinihari mencengkam tulang temulang hitam, dia diam dan bisu. ditangannya ada naskah dari Tuhan. dia diam dan terus bisu.

satu.dua.tiga

titis menitis air mata khilaf. dia sedar tanah yang diinjak ini sementara. tanah yang diberi pinjam Tuhan. kontrak nyawa ini masih perlu diteruskan. subsidi oxygen dan jiwa masih berterusan. pintu taubat tidak pernah tertutup buat dia.

satu.dua.tiga

dia atur langkah, mempersiapkan diri ke alam barzakh.

kerna dia sedar, orang yang malang adalah orang yang berbangga dengan dosanya. dan dia tidak mahu menjadi orang yang muflis dihadapan Tuhan kerana kepuasan dunia yang dia miliki.