21 August 2010

Amin Yaakob, kau kejam!


Amin, kita telah berkenalan selama seminggu. Dan dalam seminggu itu jualah kau menjadi ketua; memimpin dan memberi panduan. Selama seminggu itu jualah kita menimba ilmu, mencari pengalaman berharga. Mempersiapkan diri untuk melangkah lebih jauh dalam mendepani masa hadapan.


Sejak pertama kali mendengar syarahanmu, sungguh aku tak tipu, aku terpana. Kata-katamu tersusun rapi. Cantik bahasanya, lembut pertuturannya. Gayamu seperti orang bijak pandai-kau sangat merendah diri. Kita sebaya, tetapi tahap kematanganmu meninggalkan aku jauh dibelakang.

Setiap kali berbicara bibirmu sentiasa basah dengan kalimah Allah; memuji kebesaran ilahi dan memuji kekasihNya, Rasulullah s.a.w. berbeda daripada orang kebanyakan seperti aku – yang jelik dan hina - zikir harian sewaktu jahiliah dahulu hanyalah carutan berpanjangan.

Jelas. Aku cukup cemburu dengan keberadaan dirimu yang menjadi idola dan contoh rakan-rakan. Aku cemburu melihat akhlak mu yang cantik. Amat sempurna di mata seorang wanita.

Dipertemuan yang terakhir, kita berkumpul dan kau mula bercerita. Mulutmu pada mulanya seperti berat untuk berbicara untuk kali terakhir. Seperti ada yang sangat mustahak yang ingin kau sampaikan. Aku dapat rasakan getarnya.

“saya ditanya oleh seorang pakar motivasi, pernahkah saya mencium bau syurga di dunia? Malah saya dicabar oleh orang tersebut untuk mencium bau syurga. Mana nak cari syurga di dunia ni..Yang saya tahu ketika itu , syurga berada di bawah tapak kaki ibu.”

“ lalu saya pulang ke rumah. Seusai solat maghrib berjemaah bersama keluarga, saya menghampiri bonda. Saya ajak bonda datang dekat. Bonda duduk lalu saya pinta bonda letakkan kaki di atas pangkuan dan saya mula mengurut kaki bonda perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang.”

Amin berhenti seketika. Dia ambil nafas panjang. Tika ini aku Nampak Amin mulai sebak. Matanya, hidungnya mulai memerah.

“  saya bertanyakan kepada bonda, bonda, bolehkah Amin berbuat sesuatu? Bonda hanya senyum. Lalu saya menundukkan wajah dan mencium tapak kaki bonda. Lama. Bonda terkejut dan saya nampak airmata mulai bertakung di tubir matanya, segera saya lapkan airmata tersebut. ”

kau tahan sendu.  Dan aku.. terus terdiam. Ada rasa halus dalam hati yang menikam-nikam. Tiada senyuman nakal terguris di bibir. Hanya satu persatu airmata mengalir perlahan. Secara automatis tanpa perlu dipaksa-paksa. Kenapa? Kerna aku terharu dengan peringatan tulus oleh Amin. Lelaki simple ini tidak mahu aku terus alpa dan leka dengan fatamorgana dunia. Lelaki ini baharu sahaja aku kenali dan hadirnya mungkin sementara sahaja dalam hidupku tapi dia sudah buat aku – yang berikrar tidak akan menangis kerana lelaki – menangis jugak akhirnya. Semuanya kerana Amin Yaakob!

“Kau kejam, Amin! Kau buat aku menangis!” aku kata kepadamu. Namun seperti biasa, tanpa rasa bersalah, kau lemparkan senyuman pekat manis. Dan itulah cerita terakhir yang kau perdengarkan kepada aku. Seorang yang bijak tidak perlu dihurai panjang tujuan kau bercerita., aku sudah nampak segala-galanya.

Amin akhiri penceritaannya dengan alunan qasidah yang gemersik menembus gegendang telinga aku. Almost perfect!

**************

Dalam mendapatkan keberkatan, ibu itulah yang perlu kau sanjung selalu. Kerna dialah guru pertama dan utama – mendidik dan mengasihimu dengan sepenuh hati tanpa paksaan, yang doanya sentiasa dimakbulkan oleh Allah swt.