28 July 2010

Keterujaan Membunuh

Bercakap dengan seorang kanibal berusia lewat 20-an, berpakaian kemas dan nampak agak segak membuatkan seseorang seperti aku rasa selamat, masuk akal dan rasional ketika berkomunikasi bersama. Tugasnya hanya duduk di meja bulat sambil melihat manusia pergi dan masuk di sebuah kafe yang terletak di hujung bandar. Seorang pemerhati yang aku kira cukup teliti. Setiap hari minggu dia akan ke kafe tersebut sambil memegang sebatang pen dan buku nota kecil.

Katanya, dia akan mencatit perilaku atau fesyen orang terkini yang dia rasa menarik. Katanya, ini semua demi menyiapkan tesis untuk dihantar ke Prof. Hamdan. Katanya lagi, dia mahu dapat Nobel Prizes. Dia akan cuba menyiapkan tesis mengenai corak pemakanan manusia kanibal. Orang yang makan Orang. Aku persoalkan mengapa tidak dia kaji kes seorang warga Jepun yang jenis kanibal ini, ditangkap, dibicarakan namun dilepaskan oleh kerajaannya setelah 20 tahun perbicaraan, hanya kerana amalan kanilisme tidak salah? Bukan satu pembunuhan tetapi satu bentuk survival diri

Katanya lagi, sebab itu makanan perlu ada seni. Nak makan perlu ada masakan, perlu ada resepi. Daging yang elok, suhu yang minimum dan perencah yang sekata. Baru enak. Paling enak jika guna daging saudara mara, atau mungkin seorang bapa yang khianat atau si ibu yang korup, atau mungkin sahaja seorang abang yang bersifat cilaka..daging itu daging kitar semula..tidak membazir dan pasti tidak di-reject oleh tubuh kita.

Diakhir bicara dia ungkap satu perkara;
Perkara yang paling kejam di atas muka bumi ini adalah memakan manusia hidup-hidup.

Aku sengih. Kelat. Air liur rasa sangat pahit ditekak.

Aku rasa aku cukup faham dengan metafora ini.