22 June 2010

LUNA; masih lelaki, bukan betina.




Air mata Luna mengalir lagi. Bezanya kali ini tangisannya di hadapan Tuhan. Itu pun selepas beberapa kali dipujuk Ustaz Sukri. Luna duduk di atas tikar taubat. Muka sugul itu diraup beberapa kali.

Luna merenung diri. Betapa hinanya dia di hadapan tuhan. Sedar dia adalah hamba sahaya yang tidak punya sesiapa dan apa-apa. Fizikalnya, ya, dia cukup sempurna sebagai seorang wanita. Pembedahan dan pil hormon yang menelan kos berpuluh ribu ringgit malaysia cukup membantu menghapus terus kelakiannya dari mata zahir. Luna sudah cukup terlatih. Jiwanya memang jiwa wanita!

Luna renung diri lagi. Ke mana semua harta dunia yang dia kumpul dahulu? Habis dan tidak berbekas langsung. Ke mana semua poket-poket tua dan boyot yang menemani dan menggasaknya tiap malam dahulu? Lesap tanpa berita. Tubir mata Luna basah lagi.

Luna tidak punya ibu untuk mengadu nasib. Ayahnya pula durjana kota metropolitan. Kali terakhir melihat lelaki itu sewaktu di Bangkok. 5 tahun dahulu.

“itu bukan lelaki. Bukan figura ayah. Itu setan berkulit manusia. Dia jual mak saya! Isterinya sendiri.”. teresak-esak Luna menjawab pertanyaan Ustaz Sukri berkenaan ayahnya.

Ustaz Sukri memeluk Luna erat. Bahu Luna ditepuk beberapa kali. Ubun-ubunnya diusap perlahan. Air mata jantan Luna mengalir keluar lagi. Suara Luna juga sudah tidak terkepit seperti dahulu. Luna membalas pelukan Ustaz Sukri erat.

“ ayah ada di sini. Sekarang Rahman sudah ada ayah.”

Esakan kecil masih lagi terdengar. Pelukan dilepaskan. Luna mengucup tangan tua Ustaz Sukri bertalu-talu. Ucap syukur tak henti-henti.

Luna sujud syukur di atas tikar taubat. Wajah ayu itu tiada nampak duka. Matanya jernih, seolah suci semua dosa.

Luna memaafkan kekejaman dirinya. Dia bertekad tidak akan pulang semula ke lembah hina. Kekuatan dikumpul. Dia tak mahu manusia keliru . dia masih lelaki, seperti azalinya dan bukanlah betina dalam dunia yang dia sendiri cipta.

..................................

Luna adalah seorang transvestite yang kini telah ketemu jalan pulang. Pintu taubat terbuka luas untuk luna. Alhamdulillah, ya rabb membuka hati luna. Namanya kini Rahman. Tapi aku kekal panggil dia Luna.